Tunangku Tidak Tampan. Part 23 ( Season 2 )-----
Zam menunggang motosikal penuh girang.
Akhirnya, dia dah boleh ke sekolah semula. Betapa dia rasa rindu untuk kembali ke tempat pengajiannya. Rindu untuk melihat suasana sekolah. Rindu dimarahi para guru.
Pelik. Tak macam dulu. Tengok pagar sekolah pun dah rasa benci dan sakit hati. Sekarang, Allah dah bolak-balikkan hati. Tak kenal, maka takbenci. Dah kenal, mulai mencintai!
Zam sampai di jalanraya yang agak sibuk. Motornya dipandu laju. Tiba-tiba matanya terpandang sesuatu di seberang jalanraya dari arah yang bertentangan.
Seekor kucing sedang mengesot-ngesot badannya di atas jalanraya. Mungkin dah dilanggar kenderaan. Dah cedera.
Zam pejamkan mata. Teruskan perjalanannya. Dia pasti kucing itu akan dilenyek-lenyek kenderaan lain juga. Tanpa dia berdaya buat apa-apa.
Hatinya berkata-kata sendiri.
"Katalah kucing itu ibarat saudara yang hanyut di arus noda dan kemaksiatan. Saudara itu kritikal sekali sehingga tenat. Tak ada siapa pun sudi bantunya ke pangkal jalan. Seolah-olah membiarkannya mampus sahaja kerana merasakan itulah yang terbaik. Andai saudara itu adalah diri kamu sendiri, Zam? Kamu yang berada di situasi sebegitu. Kamu yang tergapai-gapai mohon ada tangan yang membantu. Tapi, tidak ada siapa. Tidakkah kamu rasa betapa kejamnya dunia?"
Zam brek mengejut sehingga tayar belakangnya terangkat ke atas. Dah macam aksi donut motor. Wheelie tayar depan.
Dia harus segera selamatkan kucing itu. Zam memandang tajam aliran lalu-lintas. Ada pembahagi jalan yang memisahkan lorong kanan dan kiri.
Zam tak tunggu lama. Dipusingkan motornya menghadap pembahagi jalan. Zam wheelie tayar belakang motornya.
Motor 125z miliknya itu terangkat tinggi. Dipulas throttle. Terloncat sedikit motornya melepasi pembahagi jalan yang tak berapa tinggi tu. Zam memang pakar. Rempit memang kerjanya dulu.
Vroom!
Zam sekarang berada di lorong berlawanan. Zam tak tunggu lama. Dipecut motornya sederas mungkin ke arah tempat kucing itu. Potong semua kenderaan yang ada. Menyelit-nyelit.
Bila sampai di tempat kejadian, dihentikan motornya betul-betul melintang atas jalan. Turun di atas jalanraya. Beri isyarat pada kenderaan yang menuju ke arahnya agar berhenti seketika. Kereta-kereta terpaksa perlahan dan akhirnya berhenti. Ada yang marah-marah, ada yang hon-hon. Tipikal pengguna jalanraya. Tak sabar lagi gelojoh. Tambah-tambah kereta yang betul-betul berada depan Zam sekarang.
Zam segera mengambil kucing yang tidak berdaya lagi itu tanpa mengendahkan orang ramai. Dikosongkan beg galasnya. Buku secebis dua diletakkan dalam raga motor. Diletakkan kucing malang itu dalam beg galasnya dengan dibuka sedikit zip untuk pengudaraan.
"Woi, cepatlah! Pergi mampuslah dengan kucing tu!"
Zam menjeling ke arah pemandu tu. Melayu. Islam. Zam melangkah ke arah pemandu itu pula. Dengan helmet di tangannya. Dihayun-hayun helmetnya itu. Zam menghampiri kereta itu. Pemandu itu menurunkan cermin.
"Hah?! Kau nak apa? Berambuslah! Sial! Aku nak pergi kerja dah lewat ni! Buat jalan jem je!!"
Zam mencekak leher baju pemandu tu. Bengis sekali. Terkejut pemandu itu seketika. Lagi terkejut bila lihat muka Zam berparut. Tadi dia tak nampak jelas. Dia sangka Zam gengster atau kaki pukul.
"Aku boleh hentam kepala kau dengan helmet ni sampai lumat. Tapi, aku nak kau hidup supaya suatu hari Allah letak kau pula dalam situasi yang sama. Tiada karma dalam Islam. Tapi janji Allah itu ada. Kaffarah itu ada. Perangai baik dibalas baik, perangai buruk sebesar zarah pun dibalas buruk. Kau ingat ni sampai mati! Aku doa kau dapat hidayah! Amin!"
Zam melepaskannya. Driver tu nampak pucat. Berjalan ke arah motornya yang tidak dimatikan enjin dari tadi. Terus memecut laju meninggalkan bekas asap minyak 2T berdesup di udara.
Ingat Zam hairan sangat dengan pemandu sebegitu. Sebelum berubah, pernah dia dan kawan-kawan geng kapcai gaduh dengan driver yang berani sound mereka. Separuh nyawa orang tu dikerjakan mereka. Sekarang, Zam tidak mahu lagi buat benda gila macam dulu.
Dipecutnya ke sekolah. Tak mahu layan sangat perasaan. Geram.
**
Sampai di sekolah. Zam segera berlari ke bilik guru. Cari seseorang.
"Teacher, teacher!"
Lima teacher berpaling ke arah suara yang menyerunya.
"Nak teacher yang mana satu?" Salah seorang teacher di situ bersuara.
"Yang ada tahi lalat di pipi!"
Teacher yang disebutkan terus bangun mendapatkan Zam.
"Zam, kenapa ni?"
Teacher nampak gembira bila nampak wajah jejaka itu di sekolah. Hatinya senyum.
"Tolong saya, teacher. Cepat ikut saya!"
Zam berjalan cepat-cepat ke tempat yang tak ada orang. Teacher mengikut langkahnya. Rentaknya laju juga. Dah macam pertandingan olahraga jalan cepat.
Teacher celaru sekejap. Habislah. Kalau Zam buat apa-apa pada dirinya yang lemah itu. Poyo. Bermacam-macam dalam fikirannya. Teacher memang lurus. Apa pun tak boleh.
"Teacher, mari dekat sikit. Nanti orang lain nampak."
Teacher dah blushing pipinya yang putih melepak tu. Bimbang dibuat tak senonoh pada dirinya.
Zam membuka beg galasnya.
Bunyi kucing mengiau.
"Mak!! Kucing?! Saya takut kucing!"
Teacher terjerit.
Zam menepuk dahinya. Mata ke atas.
"Teacher, kucing ni tak makan orang. Ia cedera. Tadi saya kutip di atas jalanraya. Nasib baik tak kena langgar. Tolong teacher, letak ubat ke apa ke. Please?"
Zam memandang teacher penuh harapan. Teacher cair sekejap lihat sepasang mata Zam yang cantik tu.
"Baiklah, tapi awak kena pegang kucing tu okay?"
"Okay!"
Zam girang. Teacher sudi membantu. Walaupun takut.
**
Zam melihat gurunya itu membalut kaki kucing dengan hati-hati. Disapu ubat perlahan-lahan. Lemah-lembut saja kucing itu dirawat. Aura kasih sayang terserlah. Zam perhatikan lama-lama teacher tanpa disedari.
Terfikir, mungkin begitulah yang dirasai para Khulafa' al-Rashidin bila Rasulullah s.a.w. merawat iman setiap seorang daripada mereka dengan penuh kasih sayang. Ajak ke arah tauhidkan Allah dengan penuh kasih sayang. Hingga terluka diri tetap masih tersenyum bahagia. Begitulah jua akhlak dan kasih sayang para sahabat kepada sahabat yang lain. Mengalu-alukan kedatangan ke dalam Islam dengan penuh cinta. Tak mahu masuk ke Syurga seorang sahaja. Biarlah umat Islam ini masuk bersama-sama. Bahagia bermakna bila berjemaah bersama.
Kita akan rasa kelembutan dan kasih sayang seseorang dari cara dan layanannya pada kita. Patutlah ramai yang memeluk Islam kerana terpikat dengan akhlak Nabi. Lebih terpikat lagi dengan intipati agama Islam itu sendiri yang sangat indah. Lebih-lebih lagi dijanjikan di akhirat akan bertemu dengan Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Siapa yang tak mahu disayangi dan dikasihi? Semua pun mahu.
Teringat ustaz kelasnya pernah beritahu, Rasulullah s.a.w. pernah disakiti oleh seorang wanita tua di zamannya. Diletakkan duri, najis dan bermacam-macam lagi di jalanan tempat Nabi s.a.w. lalui. Tapi, Baginda s.a.w. tidak bertindak balas. Malah, ketika wanita tua itu sakit, Bagindalah yang menziarahinya. Menunjukkan keprihatinan dan kasih sayang kepadanya. Sehingga wanita itu disapa hidayah. Memeluk Islam lantaran kesantunan dan kesopanan Nabi s.a.w. Datang dari mana akhlak yang sebegitu cantik? Dari al-Quran. Al-Quran pula dari mana? Dari Allah s.w.t. Kecintaan pada Nabi s.a.w. adalah bersambung kecintaannya kepada Allah.
Zam senyum sendiri melihat sang teacher bersungguh-sungguh merawati.
"Dah selesai. Kakinya tak patah. Cuma jarinya saja dipijak tayar kereta. Ada jari yang pecah. Insya-Allah, kalau bagi makan minum and jaga elok-elok, kucing ni boleh survive."
Teacher bercakap macam doktor kucing. Zam tersengih lebar. Teacher senyum kembali. Senyum penuh malu. Dia memang malu dengan jejaka tu. Entah kenapa dia pun tak tahu.
"Zam, buat apa dekat sini?"
Zam menoleh. Oh. Cik Yuyu.
Cik Yuyu kebetulan melalui makmal sains. Terlihat Zam dan teacher dari cermin luar.
"Ni. Kucing cedera. Teacher tolong beri pertolongan cemas. Aku tak tahu nak minta tolong siapa tadi. Dah susahkan teacher lak."
Cik Yuyu pandang teacher semacam saja. Teacher pun sama.
"Masalahnya sekarang, kucing ni siapa nak jaga?" Zam bertanya.
"Biar saya saja yang jaga kucing ni. Letak dalam sangkar dulu. Nanti masa rehat, saya berikan makan. Balik nanti, saya bawa pulang kucing ni ke rumah saya. Bolehlah buat kawan dengan kucing saya yang lain."
Cik Yuyu bersuara dengan senyuman manisnya. Teacher minta diri ke kelas. Tak selesa bila Yuyu ada bersama.
Zam lega. Berterima kasih kepada kedua-dua. Lebih berterima kasih, Allah masih panjangkan nyawa haiwan kecil itu. Alhamdulillah.
**
Seminggu berlalu.
"Kau nampak tak, Faizal? Zam dah datang ke sekolah. Elok saja budak tu tak ada cacat apa. Ini bermakna, pengajaran kita bagi hari itu tak berkesan. Kau tak payah takutlah. Ayah kau YB merangkap ahli rasmi PIBG sekolah ini. Kau tak kena buang sekolahlah. Kes ini boleh tutup begitu sahaja."
Geng Faizal mula menjadi batu api kepada ketuanya. Faizal tengah habiskan rokok di tangannya dalam tandas yang agak tersorok di sudut sekolah.
"Eh, apa barang takut dengan budak picisan tu! Kau ingat aku takut sangat ke?!"
Faizal memijak-mijak puntung rokok yang dibuangnya ke lantai.
"Ini Faizal la. Faizal Hussein pun hero legend dalam Gila-Gila Remaja. Lakonan je padahal. Aku lagi legendlah sebab aku real!"
Faizal mula terasa berang kembali. Betapa hari kejadian, dia begitu kecut perut. Takut dah bunuh orang. Insaf dan menyesal seketika. Bak kata orang, seolah-olah yang terjadi pada insiden tragedi pesawat MH370. Masa trending berlaku, ramai yang mulai insaf. Namun, bila dimamah waktu, keinsafan dibuang ke tepi. Kemungkaran datang kembali. Syaitan naik semula bertakhta di hati.
"Tapi, bukan ke Zam tu tunang teacher?" Kawan Faizal bersuara.
"Aku mati-mati percaya masa tu dia tunang teacher. Tapi, bila aku fikir balik. Tak logiklah wei! Teacher tu lagi tua dari dia. Mana ada lelaki nak wanita tua!"
Faizal mendengus.
"Aku yakin, dia masih ada hati pada Yuyu aku."
Faizal menumbuk cermin di depannya. Retak cermin. Tanda amarahnya.
"So, sekarang apa plan kau?" Ahli geng bertanya.
"Dapatkan kepastian Yuyu sendiri. Kalau dia di pihak Zam tak guna tu, kali ni kita tibai budak tu sampai koma."
Faizal menyeringai. Muka kacak. Tapi hati jahat. Lantaran taksub wanita, manusia terus lupa Syurga dan Neraka. Lupa siapa Penciptanya.
**
"Yuyu, sekejap."
Faizal menyapa dari belakang. Yuyu sedang berjalan pulang. Tidak dipandangnya pun wajah yang menyapa. Dia tahu itu suara Faizal. Teruskan saja langkah. Faizal terpaksa berlari mengejar dan memintasnya di hadapan. Block langkah Yuyu.
"Kamu nak apa lagi? Tak cukup ke hari tu kamu buat naya pada orang yang tak bersalah?"
Yuyu garang.
"Aku cuma nak tahu, apa hubungan kau dengan Zam. Itu saja. Kalau dia boyfriend kau, okay aku tak kacau."
Faizal senyum kambing.
"Dia lelaki syurga dambaan aku."
Yuyu menjawab tegas.
"Kenapa dia? Bukan aku? Apa yang dia ada? Kau jangan kata dia ada rupa pula."
Yuyu malas nak jawab. Namun, jika tak jawab, tak dapat baliklah jawabnya.
"Bukan sebab rupa. Tapi sebab semangatnya nak cari agama. Nak cari Tuhannya. Nak dapatkan Syurga-Nya. Nak betulkan kesilapan-kesilapannya. Itu yang kamu tak ada."
Faizal masam mencuka.
"Kalau aku berubah pakai jubah dan serban, kau consider tak?"
"Apa guna pakaian serba Islamik, tapi watak serba syaitanik? Apa guna karekter sekadar lakonan, realitinya bukannya mahu Tuhan tapi cuma mahukan seseorang?"
Yuyu berjalan meninggalkan Faizal terkedu sendiri.
Dalam hati, menyala-nyala api.
"Mampus kau Zam kali ni."
**
Zam melihat secebis nota di mejanya. Hari itu dia ada extra class. Balik petang.
"Kalau kau nak Yuyu selamat dari diperkosa, kau datang ke stor belakang sekolah. Stor tingkat 4."
Tulisan bertaip komputer itu dengan butiran masa sekian-sekian, dilumatkannya dalam genggaman. Zam segera berlari ke belakang sekolah. Dipandangnya bangunan tingkat 4 itu sebelum naik ke atas. Sudah sunyi. Tiada guru dan pelajar lagi di sekolah. Dah dekat pukul 6 petang.
Dia dengar raungan dari tingkat atas. Dari sudut hujung stor. Budak-budak sekolah panggil stor itu 'Stor Puaka'. Sebab kedudukan stor itu agak tersembunyi dan di sudut yang agak gelap. Setahunya, stor itu sudah lama ditutup sejak 3 tahun lepas.
Digagahinya jua sampai ke tingkat 4. Tak mahu gadis yang begitu baik pada dirinya itu diapa-apakan kerana dirinya.
Hatinya berdebar-debar.
Cemas.
Part 1 Klik Disini Part 11 Klik Disini Part 21 Klik Disini
Part 2 Klik Disini Part 12 Klik Disini Part 22 Klik Disini
Part 3 Klik Disini Part 13 Klik Disini Part 23 Klik Disini
Part 4 Klik Disini Part 14 Klik Disini Part 24 Klik Disini
Part 2 Klik Disini Part 12 Klik Disini Part 22 Klik Disini
Part 3 Klik Disini Part 13 Klik Disini Part 23 Klik Disini
Part 4 Klik Disini Part 14 Klik Disini Part 24 Klik Disini
0 comments:
Post a Comment