Tunangku Tidak Tampan.
Part 24 ( Season 2 )-----
"Argh!"
Zam menerpa masuk ke dalam bilik stor yang suram itu. Dilihatnya sekujur tubuh terbaring di lantai. Dia dapat cam tubuh milik siapa.
"Kau kenapa ni Faizal?"
Zam lihat kaki Faizal berdarah.
BAMMMM!
Pintu ditutup dari luar. Bunyi rantai besi di luar bilik. Bunyi mangga dikenakan.
"Woi, buka ni!"
Zam menjerit lantang. Namun, yang didengarinya cuma gelak ketawa dari luar.
"Mampuslah kau kat dalam tu Zam muka hodoh! Ha ha ha!"
Disertai bunyi tapak kaki yang banyak berderu lari ke bawah.
Zam cuba memanggil mereka berkali-kali. Tapi tiada sahutan. Bilik stor tu dahlah tertutup tanpa satu tingkap pun. Macam dalam penjara. Hanya ada barang-barang sekolah lama di dalamnya.
Zam berpaling mendapatkan Faizal. Ada paku di kakinya. Zam segera tarik paku itu keluar dari tapak kakinya. Terenjat tubuh Faizal bila paku itu dicabut. Meraung.
Dicarinya dalam cahaya yang kian malap itu perca kain, dibalutnya kaki Faizal. Dalam tergesa-gesa, Zam segera menyoal jawab Faizal.
"Terangkan pada aku. Apa sebenarnya semua ni?"
Faizal bersandar dalam keperitan.
"Gagal. Aku nak kenakan kau tapi gagal."
"Mana Yuyu?!" Zam sedikit tinggi suara.
Faizal mengeluh.
"Yuyu tak ada pun di sini. Nota tu cuma untuk umpan kau datang ke stor ni. Rancangan aku adalah untuk kunci kau dalam ini.
Lebih teruk lagi, aku dah plan untuk bakar stor ni bersama kau di dalam. Tapi, nampaknya Tuhan menyebelahi kau. Bila aku masuk untuk curahkan minyak gasolin dalam stor ni, tiba-tiba kaki aku terpijak paku. Aku pula dah pesan pada geng aku, bila nampak saja Zam masuk, cepat-cepat kuncikannya di dalam. Mereka tak tahu pula aku di dalam. Aku masuk ni untuk periksa semuanya berjalan lancar saja. Pukul 9 malam nanti, mereka akan datang balik untuk nyalakan api dengan memanjat pagar di belakang sekolah."
Zam terkejut dengan penjelasan Faizal. Sampai begitu sekali dendamnya pada Zam. Sampai nak bunuh orang dengan rancangan rapi.
Pang!!
Zam menempeleng Faizal.
"Kau dah hilang akal ke?! Apa sebabnya sampai kau benci sangat dekat aku hah?! Apa salah aku pada kau?!"
Zam benar-benar marah. Dia menerpa pada pintu yang dikunci dan dirantai itu.
Deshum!! Deshum!!
Diterajangnya pintu itu berkali-kali. Namun, usahanya sia-sia. Pintu itu terlalu tebal. Hanya sedikit lekuk bekas tapak kasut Zam.
Memang stor itu dibuat khas supaya tidak mudah diceroboh masuk. Tujuan stor itu dibina untuk simpan kelengkapan alatan sekolah. Tapi, disebabkan lokasinya di tingkat 4 menyukarkan peralatan sekolah diangkut ke atas untuk disimpan, juga menyusahkan kakitangan sekolah untuk berulang-alik panjat tangga hingga ke tingkat empat. Jadi, stor itu ditutup.
Dicuba lagi dan lagi. Tenaganya mulai berkurang.
Zam mengah. Rehat seketika.
Terduduk hampa. Bila hasilnya tidak seberapa.
Zam memandang tajam pada muka Faizal. Jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Senja makin menghampiri mereka.
Suasana di dalam stor mulai suram dan makin gelap. Cuma ada tirisan cahaya dari celah bawah pintu.
Keringat mulai menitik dari wajah Zam dan Faizal. Suhu dalam bilik tertutup tanpa kipas di dalamnya cukup merimaskan. Suis lampu pula di luar stor. Bukan di dalam. Bau minyak menusuk hidung. Mengisi sekitar ruang udara yang ada di situ.
"Kau puas sekarang dua-dua terperangkap di sini? Terperangkap dengan musuh kau pula tu? Ha ha ha!"
Zam gelak sendiri. Gelak geram.
"Tak mengapa, kau jeritlah pada geng kau nanti bila mereka datang malam ni untuk nyalakan api."
Zam bersuara sinis.
"Salah. Mereka akan campak molotov, 'bom botol' itu saja dari bangunan sebelah. Mereka tak akan ke bangunan ni. Kemudian, blah dengan sesegera mungkin. Misi ini sudah dirancang dengan serapi mungkin. Sampai pihak polis pun tak akan mampu jejaki siapa dalangnya."
Faizal bersuara perlahan. Seakan menyesal. Sesal yang tiada gunanya lagi.
"Heh. Terbaik. Ini bermakna stor inilah kubur kita, kan?"
Zam bangun berdiri lagi. Kembali menerajang dan menghentam pintu stor itu dengan sekuat-kuat hatinya. Sekali lagi, hampa. Dicubanya lagi dan lagi dan lagi. Sampai kakinya sedikit lenguh. Berpantang maut sebelum ajal. Dihentamnya pintu itu dengan kerusi kayu yang ada di dalam stor. Hancur berkecai kerusi. Namun, pintu tetap utuh.
"Argh! Aku tak percaya pintu ni keras sangat!"
"Tak guna kau mencuba lagi! Tak guna! Pintu tu memang sudah dirantai silang dengan kukuh sekali dari luar. Ditambah lagi dengan meja-meja yang telah disediakan di luar tadi untuk menyekat pintu itu dari mampu dibuka. Tidak semudah yang kau sangka!"
Faizal berteriak pada Zam.
Zam datang mencekak leher baju Faizal.
"Kenapa kau sezalim ini? Apa dosa aku pada kau?! Cakap!!"
Faizal ketawa terbahak-bahak. Dah macam psiko.
"Kau rampas Yuyu dari aku! Kau buat Yuyu jatuh hati pada kau!!"
Dush!
Satu tumbukan singgah di muka Faizal. Terjelepuk ke samping. Berdarah hidungnya. Zam betul-betul geram.
"Apa kau ingat, orang miskin, hina, bodoh, tak ada rupa macam aku ini layak untuk Yuyu yang secantik bidadari tu?! Aku tak layak! Aku masih sedar diri aku! Aku tak punya apa-apa! Aku anak yatim piatu!
Aku masih sedar diri! Masih!"
Zam mengetap bibir sendiri.
"Kalau kau nak Yuyu, kalau kau nak sesiapa pun, kau mampu dapat. Tapi, ini bukan caranya. Kalau aku mati sekalipun, takkan kau nak bunuh setiap orang yang datang lepas ni di antara kau dengan gadis yang kau nak? Sampai bila?
Andai hati seseorang yang kau pohon, pohonlah dari Tuhan secara terus! Andai kau nak hatinya berbolak-balik ke arah kau, mintalah Allah yang pusingkannya hati 360 darjah fokus pada diri kau!
Soal hati, jodoh dan perasaan itu adalah dari Tuhan. Dialah yang benihkan rasa kasih dalam hati seseorang kepada seseorang. Panjatkan segala doa dan harapan pada Tuhan. Dialah yang melantunkan kembali perasaan kepada seseorang, memakbulkan segala hajat dan doa yang sungguh-sungguh berterusan.
Rindu, sayang dan cinta. Dia jualah yang menyampaikannya kepada seseorang!
Mengapa kau tidak solat dan berdoa sahaja?!
Apa kau dah terlalu taksub pada ciptaan-Nya sehingga terlupakan Penciptanya?"
Zam menggenggam penumbuknya kuat-kuat. Geram.
Faizal terkedu mendengarkan kata-kata jejaka berparut di hadapannya itu. Ternyata, benar kata gadis bernama Yuyu. Dia memang lelaki dambaan Syurga. Kata-katanya ada iman. Saat itulah, dia merasakan dia dah betul-betul kalah.
Faizal bersandar lesu. Layu lemah. Hilang seluruh semangat.
Zam duduk di hadapannya. Masing-masing diam untuk seketika.
**
Dari luar, azan Maghrib sudah berdendangan di angkasa raya. Suasana dalam stor gelap gelita.
Faizal mendengar ada tepukan-tepukan pada dinding depannya. Terasa ada debu-debu stor berterbangan singgah sedikit di mukanya.
Seketika kemudian, terdengar suara jejaka berparut itu mengalunkan bacaan al-Fatihah.
Zam mendirikan solat setelah bertayammum. Dia belajar dari abang jaga masa dalam hospital cara bertayammum. Sapu debu suci bermula dari kedua tangan hingga ke lengan termasuklah bahagian wajah. Kata abang jaga, solat mesti diteruskan walaupun dalam keadaan sakit. Islam itu bersifat murunah. Agama yang anjal tetapi tetap atas prinsip asasnya. Tidak terlalu ringan dan tidak terlalu membebankan penganutnya. Solat fardhu tetap kena tunai walau dalam apa keadaan pun. Yang anjalnya adalah cara tunai. Barang yang wajib tunai tetaplah wajib tiada berubah sedikit pun hukumnya sampai kiamat.
Dalam keadaan kegelapan tidak tahu mana arah kiblat, Zam tetap bersolat. Abang jaga pernah pesan,
"Andai tak pasti kiblat di arah mana, hadapkanlah hati itu lurus ke arah Allah terus. Timur dan barat itu milik Dia. Sesuai dengan firman Allah dalam Surah al-Ruum ayat ke-30 yang bermaksud,
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."
Betapa kita sendiri pun kadang-kadang jadi penipu Tuhan. Menyangka Tuhan itu mampu diperdaya dengan helah hina. Muka dan tubuh dihadap lurus berkiblatkan Baitullah. Tetapi, hati dan perbuatan seluruhnya selepas solat berkiblatkan Syaitan yang direjam. Sedangkan tuntutan Allah adalah keselarian zahir dan batin. Lurus terus hadap agamanya.
Meskipun bersolat dalam kegelapan, hati pemuda itu bercahaya terang. Bila Allah dah hidupkan cahaya hidayah dalam hati seseorang, tiada siapa mampu memadamkannya andai Dia tak izinkan.
Berapa banyak hati manusia yang mati sebelum mati. Tetapi, hati pemuda yang seorang ini, mulai hidup kembali.
Selesai Zam bersolat. Lantas Faizal mendengarnya berdoa,
"Andai ini solatku yang terakhir, maka Engkau terimalah taubatku ini. Temukanlah daku kembali dengan kedua ibu bapaku. Bukalah pintu Syurga seluas-luasnya untukku. Aku dah tidak sabar lagi untuk ke Syurga-Mu.."
Suara jejaka berparut itu makin perlahan diselangi sedu-sedan tangisan di akhir doa.
Faizal terkedu tahap maksima. Termalu sendiri. Malu pada jejaka yang digelarnya buruk rupa itu. Malunya lagi dengan Tuhan Yang Maha Berkuasa.
**
Faizal hanya diam. Zam ada tanya tadi nak solat atau tidak. Tapi, lantaran egonya. Dia membatukan diri. Tak mahu dianggap pejuang yang tewas mudah di tangan musuhnya. Padahal, dia tak sedar. Orang yang tidak bersolat telah pun lama tewas!
Zam membaca ayat-ayat suci al-Quran dalam diam. Pesan arwah ibunya diingati selalu. Dalam gelap, sebelum tidur, bacalah ayat Kursy. Moga-moga terhindar dari syaitan dan binatang berbisa. Moga ada malaikat yang sudi jaga. Tambah-tambah lagi dalam gelap gelita suasana stor tinggalan itu.
Tak lama, Zam bersuara,
"Kau nak tahu kisah benar mengenai seseorang yang serupa dengan kau?"
Faizal mengiyakan dalam suara yang sedikit serak.
"Dulu, aku ada seorang abang kandung. Dia juga seperti kau. Pernah jatuh cinta pada seseorang.."
Abang aku kerja jual air di pasar malam. Macam-macam jenis air dia jual. Dia tak habis pun sekolah menengah. Memang minat dia meniaga.
Takdir Tuhan.
Suatu hari, seorang gadis kaya singgah beli air jus asam boi yang dia jual. Terus, dia berkenan dengan gadis itu. Mungkin kerana rupa parasnya. Mungkin juga kerana kelembutannya. Entah, aku tak pasti. Hati orang, mata orang tidak sama dengan hati dan mata kita. Cara pandang seseorang tidak sama dengan cara kita pandang. Mungkin kita lihat seseorang itu biasa-biasa. Tapi, bagi seseorang yang lain, mungkin dia lihat seseorang itu istimewa.
Lalu, dia bertekad untuk meminang gadis itu setelah berkenalan lebih kurang. Si gadis jua nyata ada perasaan terhadapnya setelah sama-sama mengenali.
Bila abang aku sampai ke pintu pagar rumah gadis itu, dia terkejut besar. Rumah bagaikan astana. Villa mewah tidak pernah terbayang. Sekaligus, hatinya sedikit goyah. Namun, cintanya masih utuh.
Seperti drama-drama Melayu tipikal, cinta antara dua darjat sememangnya punya halangan sebesar dunia. Pipit manakan mampu bersaing dengan enggang. Mana bisa diikat kaca dengan permata. Mana mungkin kasih cuma berlantaikan hati kita. Heh. Ini realiti sampai akhir dunia pun berulang sentiasa.
Nyata, dia ditolak mentah-mentah. Bulat-bulat. Mana mungkin pemuda tidak berpelajaran mampu berdiri sama tinggi dengan gadis keluaran universiti. Tapi, penolakan itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya.
Dia berusaha sedaya-upaya untuk baiki kehidupannya ke arah lebih baik. Berusaha buat baik terhadap ibu bapa si gadis.
Aku masih ingat lagi, abangku itu pernah membacakan padaku tafsiran Surah al-Anbiya' bermula ayat 85 hingga seterusnya. Dia kata, Nabi Ayyub a.s. diduga dengan penyakit mustahil sembuh, Nabi Yunus a.s. diduga dengan kekecewaan pada kaumnya sehingga ditelan ikan Nun sehingga mustahil untuk diselamatkan manusia lain, Nabi Zakariyya a.s. diduga dengan ketiadaan zuriat di waktu lewat usianya, di saat manusia lain anggap sudah mustahil isteri mandul mampu mengandung. Namun, apa yang dilakukan oleh ketiga-tiga Nabi Allah itu?
Mereka tidak pernah menganggap semua itu mustahil. Segalanya mungkin dengan izin Allah. Apa yang sukar bagi Allah? Tidak ada. Mereka bersabar dan memanjatkan doa kepada Tuhan Penentu Segala Kemungkinan. Akhirnya, penyakit Nabi Ayyub a.s. sembuh, Nabi Yunus a.s. terselamat, Nabi Zakariyya a.s. dikurniakan zuriat anak lelaki bernama Nabi Yahya a.s. penerus jalan kenabian!
Jalannya adalah dengan mengakui tiada Tuhan Yang Maha Berkuasa melainkan Allah. Mengakui kesilapan diri sendiri zalim seandainya tersasar dari perintah Allah. Kemudian, berdoa dengan penuh pasrah dan pengharapan.
Benarlah apa yang dikata Allah dalam ayat ke-90 surah yang sama yang bermaksud,
"Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas."
Atas dasar inilah, abang aku tidak putus asa. Baginya tiada yang mustahil dengan izin-Nya. Dia bangun malam bermunajat pada Allah, minta pada-Nya. Aku pernah melihatnya merintih merayu dari Allah dengan rintihan dan tangisan memilukan. Manusia perlu tiru gaya hidup para Nabi seperti dalam al-Quran tadi. Minta dari Allah dengan 'Raghaban' iaitu pengharapan, dan 'Rahaban' cemas seandainya tersalah langkah dalam mentaati-Nya. Terus bertaubat bila tersalah. Terus kembali pada Allah bila tersilap.
Berkat dari kejujuran hati dan kesungguhan diri, akhirnya abang aku berjaya mengumpul duit nikah yang cukup, bina kerjaya sebagai usahawan muda yang agak berjaya.
Lalu, dengan motosikalnya yang baru dibeli, suatu hari dia bertekad kembali ke villa tersebut. Demi menemui kembali ibu bapa si gadis. Gadis itu menanti dengan debaran di rumahnya. Dia pergi dengan membawa sebentuk cincin dan buku banknya sebagai bukti kesungguhannya.
Lantaran Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk hamba-Nya, dalam perjalanannya dia berselisih dengan sebuah Hilux ketika memotong. Lantas dia tercampak deras ke jalanraya. Motornya terperusuk ke dalam longkang.
Menyayat hati bila aku sampai di tempat kejadian. Abang aku sudah tinggal jasad. Kepalanya pecah. Hampir saja aku tidak cam mukanya. Parah. Aku sendiri tidak berdaya berjalan ke arahnya. Waktu itu, yang aku dapat lihat hanyalah dakapan arwah ayah yang masih hidup ketika itu. Didakapnya kemas-kemas tubuh si anak yang tiada nafas lagi. Hanya tangisan demi tangisan tidak henti-henti silih berganti.
Apa yang menyedihkan, dalam kepalan tangannya, tergenggam kemas kotak cincin. Betapa hajat di hatinya begitu tinggi sekali. Murni sekali. Cinta nan suci.
Akhirnya, harapan yang selama ini dia pertahankan, berkecai jua akhirnya.
Dia pergi jua....
Bila cinta. Biarlah cinta kerana Allah hingga ke akhirnya. Hingga ujung nyawa.
Itulah cinta yang sesungguhnya. Buktikan dulu pada Dia. Sebelum buktikan kepada si dia."
Zam sebak dalam kata-kata.
"Motosikal yang aku guna sekarang tu milik arwah abang aku.
Andai kau betul-betul inginkan Yuyu, kau ikutlah langkah abang aku. Itulah contoh cinta yang tidak pernah putus asa. Biar dicaci dan dihina. Biar ditolak dan direndah-rendahkan orang, tapi sentiasa ingat. Kita masih ada Tuhan.
Andai kita selamat keluar dari stor ni, aku nak kau janji. Jangan jadi pentaksub wanita lagi. Taksublah pada Allah. Aku pun bukannya baik sangat untuk tegur kau.
Tika aku koma beberapa jam di hospital tempoh hari, aku mimpikan kau. Kau bakal jadi seorang yang soleh. Bagi aku, itu seolah satu visi dalam mimpi. Mungkin ada hikmahnya. Bukannya aku percayakan mimpi setotalnya, tapi tidak ada sesuatu pun yang berlaku dalam dunia ini bersifat sia-sia, kan? Pasti ada tujuannya Allah datangkan.
Aku minta maaf. Andai aku telah menjadi batu penghalang antara kau dan hasrat kau. Aku minta maaf sangat-sangat. Aku tiada apa-apa pun, Faizal. Sungguh, aku tak punya apa-apa untuk dibangga. Apatah lagi untuk meminang anak dara orang. Hanya mimpi dalam mimpi.
Aku cuma nak Syurga.
Cuma Syurga."
Faizal mulai terisak-isak dalam diam.
Kata-kata Zam menusuk hingga ke ulu hatinya.
Barulah dia rasa betapa salahnya dia.
Betapa ralatnya keputusan yang dia pilih.
KLONG!! PRANG!!
Sesuatu dicampakkan ke pintu stor. Serta-merta api mulai menjalar ke dinding stor.
Tepat seperti yang dirancang, molotov telah dilancarkan pada stor tempat mereka berdua terkurung.
Lidah-lidah api mulai terhasil. Api hangat sekejap saja marak menghiasi dinding stor. Memamah pintu stor.
Asap hitam berkepul-kepul mulai memenuhi sudut dan ruang dalam stor.
Faizal terbatuk-batuk. Hampir lemas. Bahang mulai terasa.
"Zam! Maafkan aku!"
Faizal berpegang pada lengan Zam.
Panik.
Zam mengerutkan kening. Garang.
"Baiklah. Biar aku cuba untuk kali yang terakhir."
0 comments:
Post a Comment