Blog Archive

Followers

POST KAWAN!

Total Pageviews

Powered by Blogger.

Written By CikSuyKaPaste on Sunday, May 11, 2014 | 5:42 PM

Tunangku Tidak Tampan. 
Part 26 ( Season 3 )
----- 

"Baru buka ke?"

Abang jaga menyapa tuan kedai. Oh. Bukan. Cik tokei kedai.

"Ha'ah. Baru saja buka. Nak makan apa?"

Gadis tinggi lampai itu menjawab dengan manis senyuman. Senyum bak pramugari layan penumpang. Walaupun hanya di sebuah gerai kecil. Servis mesti terbaik punya.

"Macam biasa. Ngee."

Abang jaga menjawab malu-malu kucing. Senyum lebar sampai ke telinga.

"ABC pun nak?"

"Semestinya!"

Gerai pizza buatan sendiri dengan ais kacang special. Hampir tiga empat kali seminggu abang jaga singgah di situ. Baginya, tempat itu istimewa. Sebab pizzanya murah. Tapi sedap. Tak keras sangat. Tak lembut sangat. Ngam ngam dengan seleranya.

Gerai yang dibuka mulai pukul 3 petang hingga 9 malam. Katanya, pemilik kedai pergi kelas menjahit dan kelas bahasa di waktu pagi.

Abang jaga bukan saja suka ke gerai tu sebab menunya. Tapi, sebab tuan kedainya. Kedai itu diusahakan bersama-sama dengan ayahnya yang sudah tua. Gadis yang cukup pandai berdikari sendiri. Bermuka manis. Suka senyum. Yang paling abang jaga suka, gadis itu sentiasa memakai baju kurung. Wah. Gadis melayu kampung terakhir.

Macam Saidatina Khadijah isteri Nabi s.a.w. Pandai berniaga dan berdikari dengan sukses. Jika tak pandai, tak mungkin gerai pizza itu boleh bertahan bertahun-tahun. Man jadda wajada. Siapa berusaha, dia insya-Allah berjaya. Nak seribu daya, tak nak sejuta dalih.

"Siap. Selamat menjamu selera."

Gadis itu menyambung kerjanya setelah menghidangkan pada abang jaga.

Kedai agak lengang. Masih tiada pelanggan.

"Ehem. Boleh tanya tak?"

Abang jaga cuba buka topik.

Gadis itu senyum mengangguk.

"Awak ni nampak muda lagi. Tak sambung universiti ke?"

Si gadis nampak berubah sedikit riak mukanya.

"Maaf kalau soalan tu sensitip." Abang jaga cepat-cepat pintas.

"Takpe. Sebenarnya saya dah cuba minta setiap tahun, tapi tiada rezeki. Jadi, lepas STPM, saya buka gerai ni. Sambil-sambil saya cuba apply kolej kejururawatan. Tapi, nampaknya jiwa lagi selesa berniaga sendiri. Dah nak masuk 4 tahun dah ni buka kedai."

Gadis itu tersenyum balik. Abang jaga tersengih menampakkan ais kacang yang membeku di giginya.

"Awak kerja apa? Saya selalu nampak awak ke sekolah depan tu."

"Saya kerja jaga sekolah saja. Biasa-biasa saja. Ya lah, ngaji tak pandai macam ni lah."

Abang jaga merendah diri. Memang dia tak berselindung tentang kerjanya. Apa nak malu. Kerja halal. Manusia patut berasa malu bila kerja hebat tapi sentiasa tidak amanah. Misalnya rasuah, makan duit orang lain, manipulasi, tipu, syubhah dan sebagainya. Hidup biarlah jujur.

"Err...nama apa ya cik tokei kedai ni?"

Gadis itu serba-salah bila ditanya namanya. Berfikir sejenak.

"Safiyya..Sama dengan nama kedai ni Safiyya's Pizza. Awak? "

Abang jaga tersengih seraya memperkenalkan namanya kembali.

***

Hari-hari berlalu.

Abang jaga semakin mengenali cik tokei kedai. Namun, dia tak selalu bertanya. Kadang-kadang saja. Dia tahu setakat mana batasannya. Dia sedar hadnya di dalam Islam. Bermesra bergurau senda tidak pernah dilakukannya. Sekadar berseloroh dalam percakapan. Setakat itu sahaja.

Lantaran hormatnya pada golongan wanita sangat tinggi. Hormatilah sebagaimana kita hormati ibu, kakak dan adik perempuan sendiri. Meski cik tokei kedai tidak bertudung dengan sempurna, tudungnya singkat, namun abang jaga tidak memandang jelik padanya. Teringat sabda Nabi s.a.w. yang mafhumnya,

Dari Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah seorang mukmin lelaki membenci seorang wanita mukminah, kerana jika dia melihat ada akhlaknya yang tidak disenangi, nescaya dia akan menemukan akhlak lain yang dia senangi.” (HR. Muslim:1469)

Memang, di sebalik keburukan seorang perempuan, pasti ada bahagiannya yang baik. Tidak semua orang buruk keseluruhannya. Buruk seseorang itu mungkin kerana kejahilannya. Mungkin kerana tidak terdidik agamanya. Tiada siapa yang bantu menasihatinya. Jangan kita salahkan seseorang itu seratus sepuluh peratus hanya kerana satu dua kesalahannya. Tidak adil. Bagaimana rasanya jika kita pula yang berada di kandang pesalah? Pasti kita juga mahukan pembelaan. Mahu bela diri sendiri. Setiap berlaku bukannya tiada punca. Bukannya tidak mampu diperbetulkan lagi. Andai Allah berikan peluang masih bernafas setiap kali bangun dari tidur, mengapa manusia tidak boleh beri peluang itu terhadap manusia yang lain?

"Cik Safiyya, saya ada sesuatu untuk awak. Nah. Jangan buka sekarang. Buka di rumah."

Abang jaga memberikan beg plastik merah jambu pada cik tokei kedai. Cik tokei kedai terpinga-pinga. Merah padam juga mukanya. Malu.

"Saya pergi kerja dulu. Assalamualaikum."

Abang jaga minta diri ke sekolah. Dia menaiki motornya. Hidupkan starter penendang kaki berkali-kali. Tak hidup pula motornya. Dia tersengih-sengih sambil cuba cover macho depan cik tokei kedai.

"Awak, kuncinya mana?"

Abang jaga baru perasan suis motor tak cucuk lagi. Patutlah tak boleh start. Dia tersengih-sengih malu besar depan cik tokei kedai. Malu semalu-malunya.

Gadis itu tersenyum melihat telatah abang jaga.

**

Safiyya membuka bungkusan dalam beg plastik yang diberikan abang jaga. Sehelai shawl polkadot. Agak labuh. Warna turquoise.

"Cantik..." Gumamnya sendiri.

Ada nota bersama-samanya.

"Maafkan saya. Jangan terasa tahu. Tak ada sedikit pun niat nak menyinggung perasaan awak dengan hadiah kecil ni. Pakailah bila awak dah sedia. Lagi cepat, lagi baik sebenarnya. Sebab masa itu bukan milik kita. Masa milik Dia."

Safiyya tersenyum sendiri memikirkan kata-kata dalam nota mini. Tak pernah ada lagi lelaki yang hadiahkan tudung padanya. Yang datang ke gerai semuanya mata pencabul. Gatal melilau memerhati dirinya bertudung singkat. Selama ini, dia tak pernah kisah. Tapi, sejak dapat nota dari jejaka ini, hatinya terusik.

Bukan sekadar hati yang diusik.

Iman juga tercuit.

Keesokan harinya, cik tokei kedai memakai shawl yang diberikan setelah semalaman tengok tutorial di Youtube. Susah juga nak lilit. Tapi, lepas berjaya lilit, nampak okay pula. Puas hati.

Abang jaga datang seperti biasa ke gerai miliknya. Terkesima lelaki itu melihat gadis itu.

"Subhanallah." Itulah yang terpacul di hati jejaka itu. Senyuman saja bisa terukir di bibir. Sambil menunjukkan isyarat ibu jari tanda bagus kepada cik tokei kedai.

Gadis itu merasakan lelaki di depannya itu tulus. Kata orang tua, bila hati seseorang itu bersih, segala yang terluah darinya jua jujur dan terasa keikhlasannya. Dia percaya, lelaki ini lelaki yang baik.

Lelaki yang jaga aurat wanita samalah seperti menjaga maruah wanita. Semestinya lelaki sebegini adalah lelaki yang baik. Dalam Islam, lelaki baik dipanggil mukmin. Lelaki beriman. Lelaki beragama.

**

"Awak tahu tak, saya ada kenal seorang pelajar lelaki. Namanya Zam. Pelajar tingkatan 6 bawah di sekolah saya kerja. Pada mulanya, dia terkenal sebagai gengster sekolah. Namun, bila hidayah Allah menyapa. Singa ganas pun boleh menjadi jinak. Hati yang hitam pun mampu dicuci sehingga putih. Awak tahu apa yang paling mengujakan budak tu?"

Abang jaga bercerita. Cik tokei kedai mendengar penuh minat.

"Apa dia?"

Abang jaga menjawab ringkas,

"Syurga. Dia terlalu dambakan Syurga Allah. Lebih dari segala-galanya. Orang yang cinta kepada Syurga samalah orang itu mahukan keredaan penuh dari Allah. Orang yang cintakan Allah sepenuh hatinya."

"Wah. Pertama kali saya dengar cerita pelik macam ni!" Gadis itu berhenti sejenak buat pizza.

"Seriously?"

"Yup. Betul-betul ni. Sepatutnya kita semua ada semangat macam dia. Apa yang lebih penting dalam hidup ini melainkan demi mendapatkan cinta Ilahi?"

Kata-kata abang jaga mengusik lagi hati nurani cik tokei kedai. Dia berpaling ke arah oven. Air matanya bergenang. Selama ini, dia tak pernah fikir untuk letakkan matlamat hidupnya untuk dapat Syurga.

"Awak okay ke?"

Abang jaga kaget seketika melihat gadis itu termenung lama.

"Okay. Okay. Saya tengah fikir macam mana nak sedapkan lagi pizza saya ni je. Hee.."

Cover.

"Cik Safiyya. Suatu hari, kalau budak tu datang ke gerai awak ni. Tolong buatkan dia pizza yang paling sedap sekali. Saya belanja. Saya bayar siap-siap untuk seminggu dia makan di sini. Katakan padanya, saya bangga dengannya. Saya cemburu dengannya. Cemburu sebab saya sendiri tak dapat lakukan seperti itu. Betapa sukarnya set dalam hati dan fikiran mahukan Allah. Mahukan Syurga."

Cik tokei kedai tersenyum seraya berkata,

"Kalau dia datang sini, saya bagi dia makan free."

"Betul ni?! Wah! Terima kasih!"

Abang jaga girang sekali.

"Nah, ni ada nota tambahan untuk awak. Saya nak ke sekolah dulu."

Abang jaga menghulurkan sampul surat macam kad kahwin kepada gadis itu. Kemudian, berlalu pergi.

**

"Kepada cik tokei kedai, Safiyya.

Maafkan saya kerana tulis surat ni. Saya tahu tulis-tulis surat macam ni dah ketinggalan zaman. Sepatutnya saya minta saja nombor telefon awak. Kemudian, boleh mesej awak. Tapi, saya tak nak mengganggu awak. Sejujurnya, saya segan dengan awak.

Baiklah, terus saja kepada poin. Sebenarnya, saya suka dekat awak. Maaf, saya tahu saya hanya seorang pengawal sekolah. Gaji tak banyak. Kerja pun tak menentu. Tapi, saya cintakan kerja saya ni. Sebagaimana awak cintakan kerja awak sekarang. Ini rezeki dari Allah juga.

Andai awak tak keberatan, demi Allah, sudi tak awak jadi isteri saya?

Saya tak tahu sama ada awak dah berpunya atau tidak. Andai awak tunangan orang, silalah abaikan surat ini dan lupakan saja kerana haram melamar tunangan orang. Andai belum, pertimbangkanlah. Istikharah dan istisyarahlah dulu. Istikharah tanya Allah. Istisyarah bincanglah dengan keluarga.

Apa jua jawapan awak, saya reda. Saya pasrah.

Saya tak mampu tentukan takdir. Tak mampu ubah takdir. Namun, Allah suruh berusaha. Jadi, saya fikir inilah usaha saya. Usaha untuk tanya dulu empunya diri sendiri. Sekurang-kurangnya, saya dah cuba.

Pada Allah, saya sandarkan segalanya. Saya tak miliki harta. Tak punyai apa-apa. Hanya satu hati yang nak dikongsikan untuk satu hati. Hanya satu. Bukan dua, bukan tiga atau empat. Saya lelaki biasa. Takkan pernah jadi sempurna.

Andai awak terbuka hati untuk menerima. Balaslah dengan lapang dada.

Andai saya panjang umur, kita akan bersua lagi. Jodoh dan hati milik Allah. Jasad dan nyawa ini jua milik-Nya. Saya tak berkuasa apa-apa. Hanya hamba biasa. Satu jasad, satu nyawa, satu cinta.

Salam tulus dari hati."

Safiyya menitiskan air mata. Sebak. Terharu.

Sungguh, hatinya jua berkenan pada lelaki ini.

**

Abang jaga sampai di sekolah. Terkejut. Dilihatnya bangunan tingkat 4 sedang marak dijilat api. Tak tunggu lama, dia berlari ke arah bangunan yang sedang menyala. Dibawanya sekali pemadam api. Disemburnya ke arah bahagian yang terbakar.

Sampai di bilik stor. Dilihatnya Zam dan Faizal terbaring. Zam hampir pengsan. Tanpa berlengah, dipapahnya kedua-dua pelajar itu keluar dari stor yang masih terbakar. Tak termampu dirinya memadamkan seluruh kebakaran hanya dengan menggunakan pemadam api kebakaran setong dua.

Tiba-tiba dia sedar bencana yang lebih dahsyat sedang menghampiri. Segera dia melangkah dengan beban di kiri kanannya.

Boooom!!

Sesuatu meletup mengenai bahagian belakangnya. Pedih tak terkata. Bahagian belakangnya terbakar. Melecur teruk. Kedua-dua tangannya melecur menyala. Rambutnya dijilat api. Abang jaga melepaskan pegangannya pada tangan Zam supaya tidak terkena api. Tapi kedua-dua lengan Zam terlecur jua. Tempias. Ditolaknya kedua-dua pelajar itu tergolek dari tangga tingkat 4 perlahan-lahan. Turun ke tingkat 3 yang belum terbakar.

Kudratnya makin melemah.

"Demi Allah. Gapai Syurgamu. Zam. Jangan sesekali putus asa. Jangan berpaling lagi..."

"Zam...terima kasih...Terima kasih, Allah....Allah...Allah..."

Lelaki itu kemudiannya tersungkur rebah. Tiada daya upaya.

**

"Semalam katanya berlaku kebakaran di sekolah depan tu. Sebahagian tingkat 4 hangus dijilat api. Dua orang terkorban. Seorang pelajar meninggal sesak nafas. Seorang lagi pengawal sekolah melecur. Tak berjaya diselamatkan."

Seorang pelanggan separuh abad bercakap-cakap sesama kawannya.

Safiyya mencelah,

"Betul ke, pakcik? Pengawal yang mana satu?"

Pakcik itu hairan sambil jawab spontan,

"Yang pakcik tengok selalu datang sini tu. Yang bawa motor Legenda tu."

Serta-merta Safiyya terkaku. Masuk ke ruang dapurnya.

Dimasukkan tangannya dalam kocek apron. Dikeluarkan sepucuk surat. Surat yang nak dibalasnya pada abang jaga. Tidak kesampaian.

Air matanya mulai menitis. Membasahi pipinya yang kemerahan.

Berbisik sendiri dalam sendu tangisnya. Cuba menahan isak tangis yang dalam.

"Awak..awak tahu tak saya dah lama jatuh cinta kat awak.."

"Saya..saya sudi jadi isteri awak.."

Ketika selamanya pun harus berakhir..

..ketika itulah harus relakan setiap kepingan..

..waktu dan kenangan.

Kongsi Kepada Kawan Kawan :
Share on FB Tweet Share on G+ Submit to Digg

0 comments:

Post a Comment

Terengganu Media© 2014-2015. All Rights Reserved. Template By Nik Ibnor Hafis
Nik Ibnor Hafis ( vVxApitZxVv ) Nik Ibnor Hafis vVxApitZxVv Template NikIbnor